KAJANG – Kegiatan jahat sekumpulan penjenayah bergelar ‘Geng Enam Jari’ yang aktif melakukan pecah rumah di kawasan Semenyih dan Rinching sejak setahun lalu berkubur apabila lima anggota kumpulan itu termasuk ketuanya yang memiliki enam jari diberkas baru-baru ini.
Lima suspek termasuk seorang wanita yang berusia antara 28 dan 36 tahun terbabit ditahan di dua lokasi di Semenyih dan Rinching pada 13 Februari lalu.
Dalam serbuan pertama pada pukul 3 pagi, polis menyerbu sebuah hotel bajet di Jalan Semenyih di sini dan menahan empat suspek termasuk sepasang kekasih di dalam sebuah bilik di hotel tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, pemeriksaan di dalam bilik hotel itu, polis menemui pelbagai senjata seperti lima bilah pisau lipat, sebilah parang, tukul besi, pemotong besi, kayu besbol dan pistol mainan.
“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga berwarna perak, kunci kenderaan dan allen key yang telah diubah suai,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, susulan penahanan itu, polis menangkap seorang lagi suspek lelaki di kawasan Rinching di sini dan merampas sarung tangan dan topeng.sumber


No comments:
Post a Comment